bersama teman-teman seperjuangan.....

bersama teman-teman seperjuangan.....

Sunday, March 11, 2012

Teks syarahan agama 2010.

Tajuk       :: Masjid Membina Keunggulan Ummah
Peringkat :: Daerah (Johan), Negeri (Naib Johan)


           Assalamualaikum w.b.t.Terima kasih saudara pengacara, para hakim yang cendekia, penjaga masa yang setia, seterusnya hadirin umat Muhammad semua.

            Pada pagi yang penuh barakah ini, saya tampil ke pentas bagi menyampaikan syarahan yang bermauduk “Pengimarahan Masjid Membina Keunggulan Ummah”.  Secara konseptualnya, frasa pengimarahkan bermaksud menggerakkan atau menghidupkan suasana di masjid dengan pelbagai kegiatan berfaedah. Masjid pula, menurut Fatwa Lajnadah Imah ialah tempat yang disediakan untuk dilaksanakan atau ditunaikan solat lima waktu secara berjamaah di dalamnya. Sementara frasa “membina keunggulan ummah” dapat saya konsepkan sebagai membangunkan masyarakat atau komuniti Muslim yang lebih baik, cekap dan ulung. Keunggulan ini dapat dilihat daripada pelbagai aspek, terutamanya dari segi kerohanian, sosial, pendidikan dan ekonomi umat. Maka secara tuntasnya, tajuk syarahan saya pada hari ini dapat takrifkan sebagai proses menjalankan aktivti menghidupkan masjid dalam kalangan masyarakat mampu meningkatkan ketinggian mutu umat Islam seluruhnya.

            Maka melalui syarahan saya pada pagi yang berkat ini, saya akan menghuraikan bagaimana keunggulan umat dapat dicapai menerusi pelbagai aktiviti yang berfaedah yang dijalankan di masjid oleh muslimin dan muslimat.

Sidang hadirin paksi umat,
            Ayuh, hayatilah mandala fikir saya yang pertama : masjid pemangkin rohani umat. Tujuan utama pembinaan masjid adalah sebagai tempat beribadat. Maka, hendaklah kita menghidupkan masjid dengan ibadat yang sesuai dengan maqasid atau tujuan utama pembinaan masjid. Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Nur, ayat 36 :

Maksudnya : Di rumah-rumah (Allah) itu, diperintahkan Allah untuk memuliakan dan menyebut nama-Nya.

Ayat ini menjelaskan masjid perlu dipenuhi dengan aktiviti – aktiviti ibadah. Maka janganlah kita jadikan masjid yang indah dan mahal ini hanya untuk berbangga atau sebagai pusat pelancongan sahaja, tetapi imarahkanlah masjid-masjid ini dengan aktiviti – aktiviti ibadat dengan sebaik-baiknya. Maka, ayuhlah kita memastikan masjid kita diimarahkan mengikut maqasid pembinaanya yang utama.

Hadirin warga dewan yang cendekia,
            Beralih kepada bicara minda saya yang kedua : masjid pemangkin perkembangan ilmu. Sejak awal perkembangan Islam lagi, Rasulullah s.a.w telah menjadikan masjid sebagai pusat penyebaran ilmu dan dakwah. Masjid Nabawi ialah pusat ibadat, juga pusat pengajian Islam terunggul pada waktu itu. Pada zaman khalifah Ja’far al-Mansur pula, masjid Jami’ al-Mansur menjadi pusat pengajian ilmu Islam. Bahkan, Universiti al-Azhar sendiri berkembang daripada sebuah masjid. Firman Allah dalam surah al-Mujadalah, ayat 11:

Maksudnya : Allah mengangkat darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berilmu daripada kalangan kamu dengan beberapa darjat.

Namun kini kita dapati banyak masjid yang hanya didirikan solat berjamaah, tetapi tidak diimarahkan dengan pengisian ilmu kepada ahli jamaah. Lebih menyedihkan ada masjid lengang seusai sahaja bulan Ramadan. Maka, seharusnya kita kembali menjadikan masjid sebagai pusat pengembangan ilmu kepada seluruh masyarakat kerana apabila masyarakat kita kaya dengan ilmu, keunggulan ummah akan jelas kelihatan.

Hadirin sidang kemasyarakatan;
            Seterusnya beralih kepada mandala fikir saya yang ketiga; masjid sebagai sebagai pusat sosial masyarakat. Masjid bukan tempat ibadat khusus semata-mata, bahkan sebagai pusat kegiatan masayarakat. Aktiviti kemasyarakatan seperti walimatul urus, pusat kaunseling, tempat penginapan musafir dan lain-lain perlu diwujudkan di seluruh masjid. Jika diimbau sirah, masjid telah dijadikan pusat pentadbiran, syura dan strategi dakwah. Allah telah berfirman dalam surah al-Tawbah, ayat 18:

Maksudnya : Orang yang layak mengimarahkan (yakni menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat serta tidak takut melainkan kepada Allah.

            Masalah pandangan bahawa masjid hanya semata-mata sebagai tempat beribadat khusus dapat dikikis sekiranya semua masjid di negara ini mempunyai kemudahan yang lengkap seperti yang terdapat di masjid Jamek Bandar Baru UDA, Johor Bahru. Di masjid tersebut ditempatkan klinik, tadika, rumah musafir, pusat seni khat, dan pelbagai kemudahan untuk keperluan masyarakat setempat. Natijahnya, masjid ini sentiasa menjadi pusat kegiatan sosial masyarakat sekitarnya. Jelaslah apabila masjid dijadikan sebagai pusat kegiatan sosial, masjid dapat membina masyarakat dan sosial yang unggul.


Sidang dewan sekalian,
            Seterusnya wacana minda saya yang keempat, “Masjid pemangkin penyatuan ummah’. Perpaduan ialah elemen terpenting dalam menjana ummah gemilang. Pembinaan masjid Quba dan Masji d Nabawi di Madinah oleh Rasulullah membuktikan bahawa dengan wujudnya masjid, masyarakat akan dapat berkumpul dan bertanya khabar, menjadikan ukhuwah Islamiah dapat dijalinkan dengan lebih erat. Hal ini seterusnya memangkin keunggulan ummah. Hal ini selari dengan perintah Allah seperti yang terkandung dalam surah Ali Imran, ayat 103:


Maksudnya: Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah (agama Islam) dan jangan kamu bercerai berai...”

            Malangnya kini ada pihak yang menjadikan masjid sebagai tempat menyebarkan fitnah dan menimbulkan sengketa sesama umat. Jika hal ini berterussan sudah pasti keunggulan umat Islam akan pecah berderai. Sewajarnya kita perlulah menghayati dan mengimarahkan masjid dengan aktiviti yang mampu membina perpaduan sesama kita agar keunggulan umat terus terpelihara.

No comments:

Post a Comment